Apakah persoalan yang sering bermain difikiran orang Islam tentang agama Islam

Thursday, December 22, 2011

IA BARU SAHAJA BERMULA

Assalamualaikum....
TUGAS BERAT SEDANG MENANTI ...
Saya telah dilantik untuk mengetuai bahagian R & D Kelab PERKIM cawangan Universiti Utara Malaysia bersama rakan saya iaitu Noble Fiq. Perjalanan kami mungkin akan melalui satu liku-liku kehidupan yang penuh cabaran selepas ini untuk berdepan dengan serangan-serangan dari dakwah agama lain terutamanya Kristian. Saya ingin jelaskan bahawa tugas dakwah bukan terletak pada Kelab PERKIM seorang sahaja tapi ia tanggungjawab setiap Muslim. Benda ini tak akan jalan dengan lancar dan cepat kalau ia tak dilakukan secara bersama-sama...

Pada semesta akan datang (Tahun depan), InsyaAllah, kami akan mengatur lebih banyak aktiviti terutamanya melibatkan Non-Muslim untuk mengetahui apa itu Islam yang sebenar...

Doakan agar Kelab PERKIM Universiti Utara Malaysia dibawah kepimpinan pemimpin yang baru akan dapat menggalas tugas yang berat ini dengan jayanya.....

Friday, December 2, 2011

Apa akan terjadi?

saya melanjutkan pengajian saya di sebuah universiti tempatan iaitu Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah. Apabila saya berada di universiti ini, saya dapati terdapat begitu banyak sekali penuntut-penuntut yang beragama Islam di Universiti ini termasuk mereka yang datang dari luar negara seperti Timur Tengah, Eropah dan Asia. Penuntut yang bukan beragama Islam hampir sama banyak dengan penuntut yang beragama Islam. Saya terfikir, kenapa tak ada sebarang usaha dakwah dijalankan disini walaupun ada persatuan agama Islam. Sekurang-kurangnya wujudkan satu forum untuk menerangkan kepada penuntut-penuntut bukan Islam agar mereka dapat mengetahui dengan lebih jelas apa itu Islam. Pada hari 6 Disember (selasa) 2011, saya akan membentangkan tentang agama Islam kepada penuntut bukan Islam serta penuntut yang beragama Islam. Hanya berdoa agar semuanya berjalan dengan lancar. Allah S.W.T sahajalah tempat saya bergantung..... doakan untuk saya semua...

Monday, May 23, 2011

Balasan bagi pengumpat

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Surah al-Humazah mengandungi sembilan ayat, ia termasuk dalam kategori surah Makiyyah dan diturunkan selepas surah al-Qiyamah. Walaupun begitu, ada pendapat menyatakan bahawa surah ini diturunkan di Madinah, justeru dinamakan Madaniyyah.

Hubungan al-Humazah dengan surah al-Asr

Dalam surah al-Asr disebutkan bahawa semua manusia bergelumang dalam kesesatan kecuali orang yang dilindungi Allah SWT kemudian dalam surah ini Dia menyebut sifat-sifat orang yang sesat itu.

Ata' dan al-Kalbi mengatakan surah ini diturunkan berkenaan al-Akhnas Ibn Shariq yang selalu mengumpat manusia terutamanya tentang Nabi Muhammad SAW. Inilah pendapat Abu Soleh daripada Ibn Abbas, al-Suddi dan Ibn Asa'ib.

Muqatil mengatakan surah ini diturunkan tentang al-Walid Ibn Mughirah yang selalu mengumpat Nabi Muhammad SAW ketika baginda tidak hadir dan mencelanya secara terang-terangan di hadapan baginda. Ini juga pendapat Ibn Juraij.

Muhammad Ibn Ishaq, penulis kitab Sirah berkata: "Kami selalu mendengar surah ini diturunkan berkenaan Umayyah Ibn Khalaf."

Ibn al-Jauzi menukilkan beberapa pendapat lain:

i. Ia diturunkan kepada al-'As bin Wa'il al-Sahmi. Inilah pendapat Urwah.

ii. Ia diturunkan kepada Jamil bin Amir. Inilah pendapat Ibn Abi Nujaih.

iii. Ia diturunkan kepada Ubay bin Khalaf. Inilah pendapat al-Mawardi.

iv. Pendapat yang kedua bagi Mujahid: Ia diturunkan kepada umum tanpa tertentu kepada seseorang.

Firman Allah SWT: Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela.

Berkenaan perkataan humazah dan lumazah, adakah sama atau berlainan? Ada dua pendapat:

i. Bersamaan.

ii. Berlainan. Bagi yang berpendapat berlainan, ia menafsirkan seperti berikut:

* Humazah adalah mereka yang mencela dan lumazah adalah yang mengaibkan. Inilah pendapat Ibn Abbas.

* Humazah adalah mereka yang mencela manusia di hadapannya, sedangkan lumazah pula ialah mencela manusia di belakangnya. Inilah pendapat al-Hasan, Ata' dan Abu al-'Aliah.

* Humazah adalah mereka yang memaki manusia, manakala lumazah pula mereka yang memaki keturunan manusia. Inilah pendapat Mujahid.

* Humazah adalah mereka yang mengejek dengan mata, sedangkan lumazah pula mengejek dengan lidah. Inilah pendapat Qatadah.

* Humazah adalah mereka yang mengejek manusia dengan tangan dan memukulnya, sedangkan lumazah ialah mereka yang mengejek dengan lidahnya. Inilah pendapat Ibn Zaid.

* Humazah adalah yang mengejek dengan lidahnya, sedangkan lumazah pula adalah mengejek dengan matanya. Inilah pendapat Sufyan al-Thauri.

* Humazah adalah mereka yang menghina dan mengata orang, sedangkan lumazah adalah menghina secara berhadapan. Inilah pendapat Muqatil.

Al-Maraghi berkata: "Kemurkaan dan seksaan Allah SWT kepada golongan yang mencerca manusia yang melanggar kehormatan mereka dan yang menyakitkan hati mereka sama ada ketika hadir atau tidak."

Kemudian Allah SWT menyebutkan sebab Dia mencerca manusia menerusi firman-Nya. Firman Allah SWT: Yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitung.

Maksud himpunan di sini ada dua pendapat iaitu mengira bilangan dan menghitungnya yang merupakan pendapat al-Suddi. Yang kedua mengiranya bagi mencukupkan beberapa tahun. Ini pendapat Ikrimah.

Al-Maraghi berkata: "Perkara yang mendorong mereka menjatuh dan menghinakan martabat manusia disebabkan pengumpulan mereka akan harta dan selalu menghitungnya kerana sukakannya dan berasa seronok menghitungnya."

Pada pandangan mereka bahawa tidak ada kehormatan dan kemuliaan selain daripada itu sehingga setiap kali mereka melihat apa yang ada padanya, mereka mendakwa sebab yang demikian itulah mereka memperoleh kedudukan yang tinggi.

Mereka menghina orang yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang berada di bawahnya, dan tidak berasa takut jika mereka ditimpa bencana akibat umpatan dan cercaannya terhadap kehormatan manusia.

Ia lantaran perkara yang menipunya itu telah melupakannya akan kematian dan membutakan pula mata hatinya untuk memikirkan kesudahan perbuatannya dan merenungkan keadaan diri mereka. Kemudian Allah SWT menjelaskan dakwaan mereka yang salah ini menerusi firman-Nya.

Firman Allah SWT: Dia mengira bahawa hartanya itu dapat mengkekalkannya.

Al-Maraghi berkata: Pengumpat ini mendakwa harta yang ada pada dirinya akan dapat menjaminnya kekal di dunia dan memberi keselamatan daripada kematian. Sehingga dia beramal seperti beramalnya orang yang menyangka hidup kekal buat selama-lamanya dan tidak akan kembali kepada kehidupan lain yang di sana nanti akan menerima seksaan terhadap perbuatan buruk mereka.

Setelah Allah SWT mengancam orang yang bersifat seperti ini dengan ancaman seksaan yang keras dan menyatakan sebab yang mendorong orang itu melakukan tindak tanduk yang dibenci iaitu dakwaan mereka bahawa harta itu dapat menjamin keselamatan mereka daripada kematian, Dia mengakhirkan dengan menjelaskan seksaan yang telah disediakan untuk mereka.

Firman Allah SWT: Sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah.

Hamka berkata: Pekerjaan mengumpulkan harta benda yang disangkanya itu akan dapat memelihara dirinya dari sakit, tua, mati atau pun azab seksa neraka tidaklah benar, bahkan ia akan dicampakkan ke dalam Huthamah.

Ini kerana dia bukan seorang yang boleh dihargai. Dia mengumpulkan dan menghitung harta, namun dia mencela dan menghina dan memburukkan orang lain, mengumpat dan mengeji. Balasan kepadanya neraka dan nama lain baginya Hutamah.

Firman Allah SWT: Dan tahukah kamu apa Hutamah itu? (Iaitu) api (yang disediakan) Allah yang dinyalakan. Yang (membakar) sampai ke hati.

Sayid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: Satu gambaran yang mengerikan bagaimana api itu membakar hati yang menjadi sumber melahirkan umpat keji, persendaan, sombong dan takbur. Untuk menyempurnakan gambaran keazaban manusia yang terbuang itu, api neraka ditutupkan ke atasnya.

Tiada siapa yang dapat menyelamatkannya, diikat dan ditambat pada tiang-tiang yang panjang seperti binatang.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya api itu ditutup rapat atas mereka.

Al-Mawardi menyebut lima pendapat:

i. Iaitu dihukum dengan diikat pada kayu yang memanjang. Inilah pendapat Ibn Mas'ud.

ii. Diazab padanya dengan palang kayu yang tajam sebagaimana pendapat Qatadah.

iii. Tiang yang memanjang yang dibelenggu pada leher mereka. Inilah pendapat Ibn Abbas.

iv. Ia adalah rantai pada kaki mereka sebagaimana pendapat Abu Soleh.

v. Maknanya tempoh masa yang panjang. Inilah pendapat Abu Fatimah.

Al-Maraghi berkata: Api itu ditutupkan kepada mereka sehingga tidak dapat keluar dan tidak mampu untuk keluar.

Setiap kali mereka ingin keluar mereka dikembalikan semula ke dalamnya (api neraka).

Tidak ada pintu yang dibukakan kepada mereka, tidak pula dimasukkan roh kepada mereka. Ini menggambarkan betapa kuatnya penutupan api itu kepada mereka, di samping menambahkan kehangatan api itu sehingga hati mereka putus asa untuk melepaskan diri daripada seksaan tersebut.

Kita wajib beriman kepada perkara itu dan tidak perlu mengkaji tentang tiang-tiang itu adakah ia dibuat daripada api atau besi.

Thursday, July 29, 2010

Larangan membunuh tanpa asas

Tindakan membunuh sesama Islam tanpa alasan yang benar adalah peristiwa hitam yang terjadi dalam sejarah Islam dari zaman ke zaman. Dewasa ini ia muncul dengan tajuk keganasan, terorisme atau militanisme yang dikaitkan dengan agama Islam.

Ia menjadi suatu isu besar yang turut mempengaruhi imej dan hubungan Islam dan agama-agama lain. Walaupun kita faham tidak semua label pengganas benar tetapi kita juga tidak dapat menafikan memang ada dalam kalangan penganut Islam, mereka yang bertindak ganas di luar kerangka hukum Islam.

Dalam memperjuangkan apa yang mereka rasa benar, mereka boleh sampai menghalalkan darah sesama Islam dan mengisytiharkan jihad perang tanpa hak terhadap mereka yang tidak sealiran.

Menyedari bahaya ini, Al-Allamah Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki dalam kitab Mafahim Yajib An Tusohhah menyambung perbahasan isu takfir dengan larangan mencaci dan membunuh sesama Islam.

Beliau menegaskan bahawa membenci, memutuskan hubungan dan memusuhi kaum Muslimin itu adalah haram. Mencaci seseorang Muslim adalah suatu kefasikan dan membunuhnya tanpa alasan yang benar, adalah suatu kekufuran apabila dia menghalalkan perbuatan tersebut.

Sebagai bukti tegahan dalam permasalahan ini, memadailah diingat hadis melibatkan Khalid ibn al Walid r.a ketika diutuskan kepada kaum Bani Jazimah untuk mengajak mereka kepada Islam. Apabila beliau sampai, mereka pun menemuinya.

Lalu Khalid r.a berkata kepada mereka: "Masuklah kalian ke dalam Islam!" Mereka menjawab: "Kami adalah kaum Muslimin". Khalid ibn Walid berkata, "(Jika begitu) letakkanlah senjata kalian dan turunlah (dari bukit itu)". Mereka menjawab, "Tidak! Demi Allah, tidak ada sesuatu yang terjadi setelah meletakkan pedang, melainkan pembunuhan. Kami masih belum berasa aman denganmu dan orang-orang yang bersamamu."

Khalid berkata dengan tegas: "Tidak ada keamanan bagi kalian kecuali jika kalian turun (dari bukit itu)."

Setelah mendengar ancaman itu, sebahagian mereka pun turun manakala sebahagian yang lain berpecah.

Dalam riwayat lain disebutkan bahawa, ketika Khalid sampai kepada kaum Jazimah, mereka menyambutnya dengan baik.

Lalu Khalid r.a berkata: "Siapakah kalian? Sudah Muslim, atau masih kafir?"

Mereka menjawab: "Kami adalah Muslimin. Kami telah mendirikan solat, kami juga membenarkan kenabian Nabi Muhammad SAW, kami telah membangunkan beberapa buah masjid di halaman rumah kami, dan melaungkan azan di dalamnya."

Dalam satu lafaz, mereka tidak mengatakan, Aslamna (kami telah masuk Islam), tetapi menyebut Soba'naa! Soba'naa! (Kami telah meninggalkan agama kami dahulu, kami telah meninggalkannya)".

Kemudian Khalid berkata kepada mereka: "Mengapa kalian masih menyandang pedang?"

Mereka menjawab: "Sesungguhnya di antara kami dan sebahagian orang-orang Arab ada permusuhan. Kami takut, jikalau kalian adalah mereka. Maka kami pun tetap menyandang pedang."

Khalid r.a berkata: "(Sekarang) letaklah pedang kalian." Mereka akhirnya meletakkan senjata.

Kemudian Khalid berkata kepada angkatan tenteranya: "Tawanlah mereka". Maka sebahagiannya ditawan, sebahagian lagi diikat dan kemudian dibahagi-bahagikan di antara sahabat-sahabatnya.

Wednesday, June 16, 2010

Prejudis Barat pemangkin dakwah Laura

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

sIKAP prejudis negara barat terhadap islam kian terserlah apbila ada negara yang cuba mengharamkan pemakaian purdah.

ISLAM tidak pernah membeza-bezakan umat-umatnya terutama dari segi hak-hak yang harus dinikmati oleh kalangan penganut lelaki dan wanitanya. Baik lelaki atau wanita, semua akan menikmati hak yang sama rata, adil dan penuh dengan pelbagai hikmah.

Cuma yang buta dan jahil akan mendakwa diri teraniaya, tetapi hakikatnya mereka tidak mengetahui hak-hak yang boleh dituntut.

Usaha menuntut hak itu mungkin bakal berhadapan cabaran yang tidak mudah tetapi segala-galanya jelas tercatat dalam al-Quran dan sunnah. Malah dalam Islam nasib seseorang itu lebih terbela.

Gambaran inilah yang membuatkan anak kelahiran Sepanyol, Laura Rodriguez memilih Islam dan meninggalkan Kristian Katolik yang dianuti sejak kecil.

“Saya memilih Islam kerana ia memberikan saya banyak hak yang tidak diberikan oleh agama saya sebelum ini.

“Apabila bercakap soal kebebasan individu misalnya, Islam memberi sepenuh kebebasan tersebut yang dibatasi dengan hukum-hukum agar soal keselamatan dan kesejahteraan tetap terpelihara.

“Ini termasuklah kebebasan dan hak untuk mendapatkan pendidikan. Islam memberikan hak itu sepenuhnya kepada umatnya, lelaki dan perempuan untuk menuntut ilmu dan termasuk juga hak untuk mendapat pekerjaan, hak untuk hidup bersama dalam perkahwinan dan sebagainya. Semua itu boleh dinikmati tanpa halangan,” katanya.

Lahir sebagai seorang Katolik dan mendapat didikan di sekolah Katolik dengan ajaran yang sangat ketat, menjadikan Laura amat memahami selok belok agama asalnya.

Namun perjalanan hidup membawanya kepada haluan yang berbeza untuk ke suatu destinasi baru yang didapati menjanjikan cahaya lebih terang dan penuh dengan kebenaran.

“Islam benar-benar suatu agama pencerahan dan berada di dalamnya ternyata saya berasa sangat tenang, nyaman dan terasa seperti berada dalam naungan Maha Berkuasa, sungguh berbeza berbanding sebelum ini,” katanya yang kini ialah Presiden Persekutuan Wanita Muslim di Sepanyol.

Laura berpendapat, penindasan terhadap kaum wanita masih berlaku walaupun majoriti penduduk Sepanyol terdiri dari daripada penganut Katolik.

Hanya selepas kebanyakan negara Eropah menjadi sekular kesan Revolusi Perancis barulah kaum wanita di benua itu kembali mendapat hak-hak mereka. Iaitu apabila pihak gereja telah kehilangan kuasa untuk mempengaruhi masyarakat.

Laura kini menikmati kehidupan yang lebih baik namun mempunyai tugas dan tanggungjawab yang sangat berat untuk dipikul.

Terutamanya memperbaiki nasib dan kehidupan kaum wanita Islam sama ada yang terdiri daripada penduduk asal mahupun pendatang.

“Imigran yang beragama Islam terutamanya kaum wanita menghadapi pelbagai kesukaran dan penindasan berbanding kaum pendatang yang bukan beragama Islam. Lebih-lebih lagi terdapat tekanan politik di sana sini,” jelasnya.

Ketidakadilan itulah yang mendorong wanita berjilbab itu berusaha keras membantu dan meringankan penderitaan wanita imigran Muslim dalam mendapatkan hak-hak mereka.

Islam di Sepanyol, ungkapnya, terus dikaitkan dengan ekstremisme, pengganas dan pendatang haram. Sedangkan hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah sejarah dan budaya Sepanyol itu sendiri tidak lepas daripada kebesaran Islam.

Lantaran itu, melalui kempen-kempen dan pameran yang beliau jayakan, Laura berupaya memperlihatkan keadaan sebenar umat Islam di negaranya.

“Kami dilahirkan di Eropah. Memeluk dan menganut agama Islam di benua ini. Sudah semestinya Islam juga menjadi salah satu identiti Eropah,” katanya.

Akibatnya, usul beliau itu ditafsir oleh media Eropah sebagai salah satu pernyataan yang sangat kontroversi.

Namun Laura terus bertahan dan dengan tegas berkata, hak asasi manusia yang sering digembar-gemburkan oleh dunia hingga saat ini sebenarnya lebih banyak menimbulkan masalah di Eropah.

“Ini kerana di sisi lain, Eropah terus menggambarkan Islam sebagai agama yang buruk dengan mendakwa Islam merupakan agama yang kolot, ketinggalan zaman, pemimpin-pemimpinnya kejam dan zalim serta kaum wanitanya tertindas.

“Padahal, semua perbuatan buruk itu dilakukan sendiri oleh pihak Eropah terhadap masyarakat sendiri. Mereka juga kejam dan sering tidak bertindak adil terhadap kaum wanita,” tegas Laura.

Menurut Laura, ketika penganut Islam berpegang kepada ajaran suci itu di Sepanyol, media Eropah dan Barat langsung tidak memberi perhatian sedikit pun.

“Tetapi, apabila seorang penzina direjam di mana-mana negara Muslim, media Barat dengan begitu bersemangat membuat liputan secara tidak adil dan berat sebelah.

“Bahkan mereka mendakwa hukum Islam seperti merejam itu sebagai satu tragedi kepada dunia,” ujarnya.

Oleh itu, Laura berkata, negara-negara di Eropah perlu mendapatkan maklumat yang sebenar mengenai Islam.

“Inilah cabaran yang dihadapi umat Islam di dunia. Untuk menunjukkan wajah Islam yang ramah, damai dan menjunjung tinggi hak asasi manusia,” katanya.

Jelasnya lagi, pada dasarnya kaum wanita Muslim di negara-negara Barat mahu mengambil bahagian secara aktif dalam kehidupan sosial.

“Bagaimanapun, orang Eropah tidak membenarkan dengan pelbagai alasan yang tidak masuk akal.

“Jika saya ingin mendapatkan pekerjaan atau bergabung dengan organisasi masyarakat misalnya, pasti akan ditolak hanya kerana saya memakai tudung dan menutup aurat,” tegasnya.

Seperti diketahui umum, media-media di Eropah bahkan beberapa Parlimen negara-negara di benua itu sedang merangka perundangan bertujuan untuk menyekat dan membataskan hak dan kegiatan umat Islam.

“Mulai daripada persoalan tudung dan menutup aurat, membina menara masjid, laungan azan sehinggalah isu keganasan global.

“Namun saya tetap bertekad dan mempunyai keazaman yang kuat untuk terus memperjuangkan kaum wanita Muslim bagi mendapatkan hak-hak mereka secara adil dan saksama,” katanya.

Friday, June 4, 2010

Kajian ilmiah moden akui kebenaran Islam

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

Penemuan-penemuan terbaru dalam bidang perubatan mengukuhkan lagi bukti bahawa al-Quran itu adalah mukjizat Allah SWT.

AKHIR-akhir ini, sebuah jurnal kedoktoran ilmiah antarabangsa mengenai jantung (International Journal of Cardiology) memaparkan kajian berjudul The heart and cardiovascular system in the Quran and Hadeeth (jantung dan sistem jantung dalam al-Quran dan hadis).

Ini termasuk kajian terbaharu dan lengkap. Kajian itu ditulis oleh Marios Loukas, Yousuf Saad Shane Tubbs dan Mohamadali Shoja. Penulis pertama, Marios Loukas ialah seorang profesor di St. George University dengan bidang jantung, teknik dan anatomi pembedahan, arteriogenesis hingga pendidikan perubatan.

Mungkin penting untuk diketahui di sini, bahawa kata heart dalam dunia kedoktoran bererti jantung, bukan hati. Adapun 'hati' dalam kedoktoran adalah liver. Kerana itu qalb dalam bahasa Arab, diterjemahkan oleh penulis kajian tersebut menjadi heart yang dalam bahasa Melayu bererti jantung.

Dalam kata pengantarnya, penulis menjelaskan kemajuan ilmu kedoktoran sekarang nampaknya melupakan sumbangan teks-teks agama, salah satunya adalah al-Quran dan hadis.

Sebaliknya beliau menyebut gambaran yang tepat tentang struktur anatomi, prosedur bedah, karakteristik fisiologi dan pengubatan perubatan, Found within the Quran and Hadeeth are accurate descriptions of anatomical structures, surgical procedures, physiological characteristics, and medical remedies.

Kajian itu ditulis sebagai reviu atau rangkuman untuk menyajikan secara tepat sumbangan al-Quran dan hadis dengan fokus khusus pada sistem jantung.

Setelah menyebutkan sejarah singkat al-Quran dan hadis, Loukas menjelaskan perbezaan kontras dalam Islam dan Kristian mengenai hubungan antara agama dan sains.

Dalam sejarah Kristian di abad pertengahan dan masa Renaissance, pengaruh gereja melumpuhkan perkembangan sains, bahkan jika pengamatan sains tersebut sebenarnya didukung oleh perhitungan dan pemikiran rasional.

Sementara sains di era kejayaan Islam berkembang luas disebabkan ajaran Islam mendorong dan mendukung kemajuan sains. Selain itu, dalam Islam pencarian ilmu pengetahuan merupakan bahagian dari ibadat kepada Tuhan.

Kajian itu menjelaskan tentang pandangan umum mengenai pengubatan dalam al-Quran dan hadis. Di antaranya, Allah SWT yang menciptakan penyakit dan setiap penyakit itu ada ubat dan metod penyembuhannya. Suatu penyakit yang sembuh kerana izin Allah.

Ada dua macam perlakuan untuk proses penyembuhan suatu penyakit, iaitu secara spiritual dan fizikal. al-Quran menyebut penyakit bukan hanya penyakit fizikal, namun juga penyakit yang tersembunyi seperti keraguan, kotoran keimanan, kemunafikan, tidak beriman serta dusta.

Selain penyakit batin tersebut, al-Quran dan hadis juga mendiskusikan beberapa penyakit fizikal seperti sakit perut, demam, penyakit kusta, dan penyakit mental. Di antara ubat yang mujarab adalah madu kerana mengandungi gula, vitamin dan anti mikrob. Seterusnya al-Quran berbicara tentang makanan yang haram seperti bangkai, darah, daging babi serta yang disembelih tidak atas nama Allah.

Mengenai sistem jantung, darah dan pengedarannya, penulis menyebut tentang suatu ayat al-Quran yang menyatakan bahawa: Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. (Qaaf: 16)

Ini menunjukkan kaitan antara Allah dengan hamba-Nya, sekali gus mengisyaratkan pentingnya pembuluh darah di leher dan hubungannya dengan jantung manusia.

Panjang lebar, penulis kajian itu mengupas mengenai jantung, penyakit yang berkaitan dengan jantung, serta sumbangan al-Quran dan hadis bagi dunia perubatan.

Al-Quran juga menyebut ada juga kelompok manusia berdasarkan keadaan heart iaitu orang yang beriman yang memiliki hati yang hidup, orang kafir yang memiliki hati yang mati, dan orang munafik yang ada penyakit dalam hati.

Justeru itu Marios Loukas menyatakan bahawa heart memiliki dua bentuk, iaitu spritual heart dan physical heart.

Ia juga menyebut ulama membahagi dua jenis penyakit dalam spiritual heart, iaitu syubhat dan nafsu syahwat.

Menurutnya, secara tidak langsung gaya hidup manusia yang dikehendaki Allah, mengurangkan risiko kemungkinan penyakit jantung seperti melakukan aktiviti spiritual, makan secukupnya, bekerja secara fizikal, tidak marah dan iri hati, menjauhkan keserakahan serta menjauhkan diri daripada makanan dan minuman yang dilarang. Termasuk pula bahasan gerakan-gerakan solat (berdiri, sujud, duduk) yang berhubungan dengan kesihatan.

Sehingga dibahas pula larangan Islam untuk menggunakan alkohol bagi khamar (arak) yang boleh ditinjau daripada segi kesihatan.

Di bahagian kesimpulan, penulis menyatakan al-Quran dan ucapan Nabi SAW adalah teks agama, spiritual dan sekali gus saintifik, serta memberikan pengaruh bagi ilmu perubatan dan anatomi.

Penulis juga menyatakan, jantung sesungguhnya berisi unsur hati, kecerdasan dan emosi, sebagaimana juga unsur fizikal tubuh yang dapat mengalami sakit, seperti pembekuan darah dan lain-lain.

Beliau juga mengatakan saintis Eropah di abad pertengahan gagal mengambil manfaat daripada Islam, disebabkan beberapa kemungkinan di antaranya proses penterjemahan yang menyeleweng.

Tuesday, June 1, 2010

Tanggapan Orang Bukan Islam terhadap Agama Islam di Malaysia

Orang bukan Islam cukup pantang kalau ada dikalangan ahli keluarga mereka yang memeluk agama Islam . Jika mereka dapati ada dikalangan ahli keluarga mereka yang bertukat agama dari agama asal kepada agama Islam , mereka akan melenting . Ini kerana apa yang mereka lihat didepan mata mereka adalah keburukan yang dibuat oleh umat Islam . Jika bertukat ke agama Buddha , Hindu , Kristian , Shinto , Bahaii , Toisme , Confucius , Jaina ataupun agama-agama yang lain mereka tidak kisah . Tetapi jika bertukar ke agama Islam , bagi mereka itu adalah satu masalah yang besar . Agama Islam merupakan agama yang terbesar didunia tetapi agama Islamlah yang paling disalah ertikan oleh masyarakat bukan Islam . Di Malaysia, Masyarakat Islam majoritinya adalah berbangsa Melayu . Malangnya , orang Melayu tidak menunjukkan nilai sebenar agama Islam kepada orang bukan Islam yang lain seperti Cina ,India ,Iban,Melanau dan lain-lain kaum lagi . Orang bukan Islam menganggap bahawa "Masuk Islam bererti masuk Melayu" . Saya tidak menyalahkan seratus peratus kepada mereka jika mereka berpendapat sebegitu kerana Orang Melayu yang beragama Islam tidak menunjukkan apa itu Islam dan lebih suka memperjuangkan bangsa Malayu daripada menjalankan dakwah .

Selamat Datang Saya Ucapkan

Saya bernama Muhammad Syukhri . Tinggal di Sijangkang , Kuala Langat ,Selangor . Berumur 19 tahun dan masih belajar di Tingkatan 6 . Tujuan saya membuat blog ini adalah salah satu usaha saya untuk membetulkan tanggapan yang salah oleh orang bukan Islam terhadap agama Islam . Saya harap segala ucapan dan apa yang saya sampaikan tidak akan mengguris hati anda semua .