Apakah persoalan yang sering bermain difikiran orang Islam tentang agama Islam

Wednesday, June 16, 2010

Prejudis Barat pemangkin dakwah Laura

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

sIKAP prejudis negara barat terhadap islam kian terserlah apbila ada negara yang cuba mengharamkan pemakaian purdah.

ISLAM tidak pernah membeza-bezakan umat-umatnya terutama dari segi hak-hak yang harus dinikmati oleh kalangan penganut lelaki dan wanitanya. Baik lelaki atau wanita, semua akan menikmati hak yang sama rata, adil dan penuh dengan pelbagai hikmah.

Cuma yang buta dan jahil akan mendakwa diri teraniaya, tetapi hakikatnya mereka tidak mengetahui hak-hak yang boleh dituntut.

Usaha menuntut hak itu mungkin bakal berhadapan cabaran yang tidak mudah tetapi segala-galanya jelas tercatat dalam al-Quran dan sunnah. Malah dalam Islam nasib seseorang itu lebih terbela.

Gambaran inilah yang membuatkan anak kelahiran Sepanyol, Laura Rodriguez memilih Islam dan meninggalkan Kristian Katolik yang dianuti sejak kecil.

“Saya memilih Islam kerana ia memberikan saya banyak hak yang tidak diberikan oleh agama saya sebelum ini.

“Apabila bercakap soal kebebasan individu misalnya, Islam memberi sepenuh kebebasan tersebut yang dibatasi dengan hukum-hukum agar soal keselamatan dan kesejahteraan tetap terpelihara.

“Ini termasuklah kebebasan dan hak untuk mendapatkan pendidikan. Islam memberikan hak itu sepenuhnya kepada umatnya, lelaki dan perempuan untuk menuntut ilmu dan termasuk juga hak untuk mendapat pekerjaan, hak untuk hidup bersama dalam perkahwinan dan sebagainya. Semua itu boleh dinikmati tanpa halangan,” katanya.

Lahir sebagai seorang Katolik dan mendapat didikan di sekolah Katolik dengan ajaran yang sangat ketat, menjadikan Laura amat memahami selok belok agama asalnya.

Namun perjalanan hidup membawanya kepada haluan yang berbeza untuk ke suatu destinasi baru yang didapati menjanjikan cahaya lebih terang dan penuh dengan kebenaran.

“Islam benar-benar suatu agama pencerahan dan berada di dalamnya ternyata saya berasa sangat tenang, nyaman dan terasa seperti berada dalam naungan Maha Berkuasa, sungguh berbeza berbanding sebelum ini,” katanya yang kini ialah Presiden Persekutuan Wanita Muslim di Sepanyol.

Laura berpendapat, penindasan terhadap kaum wanita masih berlaku walaupun majoriti penduduk Sepanyol terdiri dari daripada penganut Katolik.

Hanya selepas kebanyakan negara Eropah menjadi sekular kesan Revolusi Perancis barulah kaum wanita di benua itu kembali mendapat hak-hak mereka. Iaitu apabila pihak gereja telah kehilangan kuasa untuk mempengaruhi masyarakat.

Laura kini menikmati kehidupan yang lebih baik namun mempunyai tugas dan tanggungjawab yang sangat berat untuk dipikul.

Terutamanya memperbaiki nasib dan kehidupan kaum wanita Islam sama ada yang terdiri daripada penduduk asal mahupun pendatang.

“Imigran yang beragama Islam terutamanya kaum wanita menghadapi pelbagai kesukaran dan penindasan berbanding kaum pendatang yang bukan beragama Islam. Lebih-lebih lagi terdapat tekanan politik di sana sini,” jelasnya.

Ketidakadilan itulah yang mendorong wanita berjilbab itu berusaha keras membantu dan meringankan penderitaan wanita imigran Muslim dalam mendapatkan hak-hak mereka.

Islam di Sepanyol, ungkapnya, terus dikaitkan dengan ekstremisme, pengganas dan pendatang haram. Sedangkan hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah sejarah dan budaya Sepanyol itu sendiri tidak lepas daripada kebesaran Islam.

Lantaran itu, melalui kempen-kempen dan pameran yang beliau jayakan, Laura berupaya memperlihatkan keadaan sebenar umat Islam di negaranya.

“Kami dilahirkan di Eropah. Memeluk dan menganut agama Islam di benua ini. Sudah semestinya Islam juga menjadi salah satu identiti Eropah,” katanya.

Akibatnya, usul beliau itu ditafsir oleh media Eropah sebagai salah satu pernyataan yang sangat kontroversi.

Namun Laura terus bertahan dan dengan tegas berkata, hak asasi manusia yang sering digembar-gemburkan oleh dunia hingga saat ini sebenarnya lebih banyak menimbulkan masalah di Eropah.

“Ini kerana di sisi lain, Eropah terus menggambarkan Islam sebagai agama yang buruk dengan mendakwa Islam merupakan agama yang kolot, ketinggalan zaman, pemimpin-pemimpinnya kejam dan zalim serta kaum wanitanya tertindas.

“Padahal, semua perbuatan buruk itu dilakukan sendiri oleh pihak Eropah terhadap masyarakat sendiri. Mereka juga kejam dan sering tidak bertindak adil terhadap kaum wanita,” tegas Laura.

Menurut Laura, ketika penganut Islam berpegang kepada ajaran suci itu di Sepanyol, media Eropah dan Barat langsung tidak memberi perhatian sedikit pun.

“Tetapi, apabila seorang penzina direjam di mana-mana negara Muslim, media Barat dengan begitu bersemangat membuat liputan secara tidak adil dan berat sebelah.

“Bahkan mereka mendakwa hukum Islam seperti merejam itu sebagai satu tragedi kepada dunia,” ujarnya.

Oleh itu, Laura berkata, negara-negara di Eropah perlu mendapatkan maklumat yang sebenar mengenai Islam.

“Inilah cabaran yang dihadapi umat Islam di dunia. Untuk menunjukkan wajah Islam yang ramah, damai dan menjunjung tinggi hak asasi manusia,” katanya.

Jelasnya lagi, pada dasarnya kaum wanita Muslim di negara-negara Barat mahu mengambil bahagian secara aktif dalam kehidupan sosial.

“Bagaimanapun, orang Eropah tidak membenarkan dengan pelbagai alasan yang tidak masuk akal.

“Jika saya ingin mendapatkan pekerjaan atau bergabung dengan organisasi masyarakat misalnya, pasti akan ditolak hanya kerana saya memakai tudung dan menutup aurat,” tegasnya.

Seperti diketahui umum, media-media di Eropah bahkan beberapa Parlimen negara-negara di benua itu sedang merangka perundangan bertujuan untuk menyekat dan membataskan hak dan kegiatan umat Islam.

“Mulai daripada persoalan tudung dan menutup aurat, membina menara masjid, laungan azan sehinggalah isu keganasan global.

“Namun saya tetap bertekad dan mempunyai keazaman yang kuat untuk terus memperjuangkan kaum wanita Muslim bagi mendapatkan hak-hak mereka secara adil dan saksama,” katanya.

No comments:

Post a Comment